YayBlogger.com
BLOGGER TEMPLATES

Sunday, July 24, 2011

Alpha Kurt-ey

Baru-baru ini ada seorang rakan aku yang menggelarkan dirinya sebagai artis mengalami kegusaran. Dia mempunyai blog yang membawa falsafah punk anti establishment, anti agama, anti segalanya-galanya; namun dia kesal orang ramai yang hakikatnya terdiri dari kalangan pro establishment, takut Tuhan dan sealiran dengannya tak bertandang ke situ. Aku pening kepala mendengar kenyataan tersebut. Kepala aku langsung berputar sekitar banyak benda. Dan di antara banyak-banyak benda itu adalah Kurt Kobain. Atau lebih spesifik, klip ini:


Ia menampilkan Nirvana di Top of the Pops ketika zaman pra sejarah awal 90-an dulu. Mereka di situ untuk mendendangkan lagu Smells Like Teen Spirit, lagu yang semacam dah menghantui Kurt kaw-kaw pada waktu itu kerana popularitinya. Lagi parah, Top of the Pops hakikatnya adalah karaoke ala Muzik-Muzik; Kurt nyanyi live bersama trek muzik yang telah direkod. Dengan gaya punk sejati, kugiran ini sengaja menjolok kepalsuannya, tak berusaha langsung nak tunjuk kononnya mereka sedang rancak bermain instrumen*. Paling gempak, Kurt buat-buat suaranya jadi besar gila yang katanya cubaan untuk meniru Morrisey. Ketika dia sedang menyirap darah-darah di atas pentas, Kurt secara tak langsung telah mencipta satu lagi variasi best lagu tersebut.

Aku tengok dua konsert Nirvana pada era VHS dulu*. Dua-dua kali mereka main Teen Spirit, dua-dua kali dengan penuh berbulu. Pada sebuah tour Nevermind, di Roseland Ballroom bersama Jesus Lizard sebagai band pembuka, Kurt menggubah lagu tersebut menjadi versi prototaip Rape Me.

Terdapat semacam satu, bak kata orang putih, sick purity tentang hal bunuh diri Kurt. Ini mengingatkan aku kepada kata-kata Morissey tentang kematian Ian Curtis - bahawasanya ia semacam tak adil dan satu-satunya cara Morissey boleh menyaingi penyanyi Joy Division itu adalah dengan gantung diri di atas pentas. Kurt tambahkan lagi volume dengan menanggung segala keperitan demi mempertahankan muziknya.

Hari ini jika kau tanya kepada artis tentang fungsi seni. Belum tentu mereka boleh jawab. Namun yang pasti, kebanyakannya berharap ia boleh diterima ramai. Ini memang bullshit. Seni adalah ekspresi diri. Ia tak ada kaitan dengan penerimaan audiens. Kalau itu resminya, seni kau sudah menjadi produk semata-mata. Ketika Nirvana masih berada di muka bumi suatu ketika dulu, "reaching out to people" bukanlah suatu usaha yang kumpulan rock - terutamanya kumpulan rock yang membawa falsafah punk - ingin lakukan. Ada beribu sebab kenapa Kurt tembak kepala dia sendiri - kebanyakannya sebab pentingkan diri dan kotey yang kecik - tapi salah satunya adalah kerana populariti melampau yang diraih. Menjadi counterculture bermakna kau berada di posisi counter kepada dominant culture; mengasingkan diri kau dari budaya arus utama yang kau tak suka. Punk Inggeris 70-an menyarung logo swastika bukan kerana mereka suka imej tersebut, tetapi untuk kasi terkejutkan orang, untuk kasi bengang orang sekali gus menyisihkan diri mereka dari khalayak. Seperti juga hal Kurt dengan muziknya. Pada akhirnya, dia tak boleh terima orang yang salah dok suka lagu-lagunya; orang yang sepatutnya dia tentang menerusi karya-karyanya.

*Peliknya, aku tak pernah pula layan Nirvana Unplugged secara keseluruhan, cuma perca-perca sana sini.

Friday, July 22, 2011

Aku Insan Lelap


Lapan sembilan menjak ini, tabiat suka tidur aku sewaktu menonton filem semakin menjadi-jadi; tak kiralah sewaktu di rumah sendiri, di rumah makwe, mahupun di bangku pawagam; dan tak kiralah filem yang dilayan adalah jenis yang seni, berarus utama, panjang ataupun pendek. Ini kira agak biadap jika perlihatkan betapa aku memandang tinggi terhadap medium seni ini, dan betapa aku percaya minda dan jiwa kita kenalah sentiasa fokus sewaktu menonton filem. Aku mengaku yang aku, seperti sekalian umat Islam di luar sana, kadang kala agak seksa, bak kata orang putih, practicing what I preach; namun aku juga nak tambah sebenarnya tak salah nak tidur sewaktu menonton filem - selagi kau menghabiskan naskhah yang ditonton itu pada lain waktu ketika mata bugar sikit - dan ini bukanlah petanda aku tak memandang filem sebagai seni dengan serius.

Aku merasakan pengalaman menonton filem itu adalah sesuatu yang menenangkan. Ditambah lagi dengan penangan psikosomatik lampu malap, duduk di kerusi empuk seraya menatap imej yang menari, aku percaya ini menyuntik semacam suatu kualiti meditatif dalam pengalaman meladeni seni, sesuatu yang melangkaui aspek rasional dan emosional hidupan kita - yang kita gelar aspek noetik atau rohani seni. Kualiti ini menjelaskan seni memberi bentuk dan susunan ke atas elemen yang kacau lagi rambang. Hanya sebahagian medium saja mampu ke tahap begini seperti filem. Material mentah yang berlandaskan imej, bunyi, muzik serta kata-kata bersatu dengan cara yang cukup hebat seraya membentangkan makna dan kebenaran melalui wahana yang pelbagai.

Seni, dalam kelebihannya memanifestasikan keindahan, memberi kita tempat perlindungan dari segala kegilaan, kegelapan dan kemerepakan dunia yang memamah kehidupan kita sehari-hari. Pun begitu, secara paradoksnya, perlindungan ini bukanlah ruang untuk kita melarikan diri. Ia bukanlah sebuah fun fair untuk kita "cabut" kejap dan kemudian berbalik ke dunia hiruk-pikuk kita yang asal. Sebaliknya, perlindungan ini bertujuan untuk "menyerikan" lagi kehidupan kita. Ia menunjukkan kebenaran tentang kehidupan kita, rupa dunia kita yang sebenar, sekiranya kita sanggup melihatnya benar-benar. Seni memberi kita ruang untuk melihat cahaya keindahan hidup yang tersembunyi di sana sini.

Pengalaman yang aku sebut tu, sebuah pengalaman dunia yang masuk dek akal dan penuh makna, tersangatlah mengujakan namun dalam yang sama amat menenangkan. Ia adalah sebuah alam harmoni - tempat aku boleh melelapkan mata. Memang redup jiwa apabila memikirkan wujudnya filem di dunia yang aku tinggal ini. Ini mengingatkan aku kepada kata-kata Borges, "Aku tak boleh tidur kalau tak ada buku dekat keliling." Filem pun sama jugalah.

Ia memberi semacam kelegaan batin kepada aku bahawa dunia yang aku diami ini menghasilkan Manhattan oleh Woody Allen, Trilogi Apu oleh Satyajit Ray dan Late Spring oleh Ozu. Ini adalah tempat yang best untuk hidup, dan tempat yang best untuk aku berdengkur.

Monday, July 11, 2011

Ulasungkawa

Baru-baru ni aku ada beli edisi Criterion Collection maha karya Brian DePalma, Blow Out. Kalau beli yang asli, kau akan dapat booklet yang mengandungi resensi gemulah Pauline Kael di majalah New Yorker tentang filem itu. Tapi disebabkan aku punya yang cetak rompak, ia sekadar discan ke dalam disc kedua. Bagaimanapun, aku masih terkejut beruk membaca kritikan Pauline yang tahap dewa begitu setelah sekian lama menghadam "ulasan" hari ini, terutamanya yang boleh didapati di internet. Perbezaan paling besar yang kita boleh nampak adalah pengkritik pada zaman itu menulis khususnya buat mereka yang SUDAH menonton satu-satu filem itu. Ia adalah usaha kesinambungan untuk berhubung dengan penonton pada peringkat intelektual dan estetik pula; untuk masuk ke dalam wacana budaya tentang keindahan dan kepentingan filem.

Aku tak rasa kita benar-benar faham tentang fungsi kritikan filem mengikut konteks budaya masa kini. Ini kerana kita jarang dan hampir-hampir tak ada langsung dialog tentang kepentingan seni. Hatta, banyaklah motherfuckers menganggap kritikan filem ini a) sekadar pendapat yang sama saja nilainya dengan pendapat kau, aku dan mana-mana mamat Tiga Line dekat luar sana; dan b) sebagai cadangan untuk tengok filem apa yang best sekarang. Fungsi-fungsi ni jelas amat kontradik. Fungsi kedua itu berpunca sebab banyak sangat filem dekat luar sana dan ini sekali gus mengakibatkan karangan tentang filem setakat menjadi rumusan pendek tentang plot dan apa yang menjadi dan tak menjadi tentang sesebuah filem itu (sinematografi, okey; arahan, boleh tahan; lakonan, kayu sikit; dan sebagainya).

Aku tertarik nak tahu jika terdapat sesiapa di luar sana yang boleh merekomenkan karangan filem yang terkeluar dari kepompong "suka atau tak suka." Wujud ke penulis tentang filem di luar sana yang berterusan berhubung dengan filem pada tahap estetik dan falsafah, menyimpulkan wasilah budaya, sejarah dan rohani, memperluaskan lagi pengalaman kita menonton filem lantas membuka lembaran baru dalam dialog dan pemikiran terhadap kesenian filem? Beberapa orang yang aku boleh fikir sekarang ni - jika di luar negara - cuma A.O. Scott di New York Times dan Jeremy Smith di AICN. Roger Ebert boleh tahan tapi lepas dah buang sekalian barah pun, jarang-jarang dia boleh sampai ke tahap analisis mendalam Pauline. Kolum "Great Movies" dialah yang ngam sikit sebab dekat sini dia tidak terperangkap dengan aspek paling celaka dalam kritikan moden - sistem kadaran bintang. Di Malaysia aku kira semua pengkritik di akhbar macam lahanat. Ya, termasuklah Ku Seman Ku Hussein dan A. Wahab Hamzah. Hassan Muthalib mampu mencetuskan beberapa poin menarik dan cuba melihat filem dari sudut berbeza tapi masih, dia pun sama babi.

Kenapa? Well, sesetengah orang percaya sepatutnya terdapat garis jelas yang membezakan pengulas filem, i.e. buruh penerbit besar yang kerjanya adalah untuk merekomen - atau tidak merekomenkan - filem kepada penonton sasaran*, dan pengkritik filem. Pengkritik filem ni lebih akademik, ilmuan serius yang benar-benar mendalami penyelidikan filem. Bangsat-bangsat macam Ku Seman, A. Wahab dan Hassan Muthalib nampak sangat nak tergolong dalam kelompok ni - cuba mengakademikkan kritikan filem habis-habisan, mencirikannya dengan bahasa esoterik dan istilah pariah intelektual, menghimpitkannya dengan mentaliti universiti. Aku tak nampak Pauline Kael boleh disumbat ke dalam mana-mana kategori ini. Perbezaan ini membuatkan kita terperangkap dalam elitisme, menganggap yang orang kebanyakan tidak mahu atau tidak mampu terlibat dalam diskusi serius tentang falsafah atau seni. Masalahnya mereka ni tak diberi peluang pun. Yang diperlukan hanyalah ruang budaya untuk diskusi begitu. Mungkin jika pendidikan filem - ataupun pendidikan seni - lebih prominen di institusi pembelajaran, masalah ini boleh ditangani dengan lebih serius.

Dalam kes tertentu, kekurangan pengiktirafan budaya bahawasanya filem itu seni berpunca atas beberapa dasar: Kurangnya wahana intelektual dalam budaya kita, filem sebagai produk semata-mata, obsesi terhadap hiburan dan keselesaan yang mengorbankan seni serius. Bagaimanapun, salah satu faktor terbesarnya juga kerana kegagalan pengkritik filem untuk menghubungi khalayak pada tahap intelektual mendalam tanpa menyisihkan mereka; memastikan kerja mereka tidaklah tertakluk pada cakap-cakap berdegar atau rekomendasi kosong semata-mata. Adalah kerja pengkritik untuk terus menghidupkan diskusi filem dan memastikan kepentingan budaya seni yang diangkatnya berterusan, untuk mencintainya dan menghargainya dan menghubunginya pada satu tahap yang melangkaui kelaziman kita lihat di dada-dada akhbar ataupun internet.

*Sementara tu, kesemua pengkritik filem di akhbar Inggeris tempatan berada dalam kelompok ni.