YayBlogger.com
BLOGGER TEMPLATES

Monday, July 11, 2011

Ulasungkawa

Baru-baru ni aku ada beli edisi Criterion Collection maha karya Brian DePalma, Blow Out. Kalau beli yang asli, kau akan dapat booklet yang mengandungi resensi gemulah Pauline Kael di majalah New Yorker tentang filem itu. Tapi disebabkan aku punya yang cetak rompak, ia sekadar discan ke dalam disc kedua. Bagaimanapun, aku masih terkejut beruk membaca kritikan Pauline yang tahap dewa begitu setelah sekian lama menghadam "ulasan" hari ini, terutamanya yang boleh didapati di internet. Perbezaan paling besar yang kita boleh nampak adalah pengkritik pada zaman itu menulis khususnya buat mereka yang SUDAH menonton satu-satu filem itu. Ia adalah usaha kesinambungan untuk berhubung dengan penonton pada peringkat intelektual dan estetik pula; untuk masuk ke dalam wacana budaya tentang keindahan dan kepentingan filem.

Aku tak rasa kita benar-benar faham tentang fungsi kritikan filem mengikut konteks budaya masa kini. Ini kerana kita jarang dan hampir-hampir tak ada langsung dialog tentang kepentingan seni. Hatta, banyaklah motherfuckers menganggap kritikan filem ini a) sekadar pendapat yang sama saja nilainya dengan pendapat kau, aku dan mana-mana mamat Tiga Line dekat luar sana; dan b) sebagai cadangan untuk tengok filem apa yang best sekarang. Fungsi-fungsi ni jelas amat kontradik. Fungsi kedua itu berpunca sebab banyak sangat filem dekat luar sana dan ini sekali gus mengakibatkan karangan tentang filem setakat menjadi rumusan pendek tentang plot dan apa yang menjadi dan tak menjadi tentang sesebuah filem itu (sinematografi, okey; arahan, boleh tahan; lakonan, kayu sikit; dan sebagainya).

Aku tertarik nak tahu jika terdapat sesiapa di luar sana yang boleh merekomenkan karangan filem yang terkeluar dari kepompong "suka atau tak suka." Wujud ke penulis tentang filem di luar sana yang berterusan berhubung dengan filem pada tahap estetik dan falsafah, menyimpulkan wasilah budaya, sejarah dan rohani, memperluaskan lagi pengalaman kita menonton filem lantas membuka lembaran baru dalam dialog dan pemikiran terhadap kesenian filem? Beberapa orang yang aku boleh fikir sekarang ni - jika di luar negara - cuma A.O. Scott di New York Times dan Jeremy Smith di AICN. Roger Ebert boleh tahan tapi lepas dah buang sekalian barah pun, jarang-jarang dia boleh sampai ke tahap analisis mendalam Pauline. Kolum "Great Movies" dialah yang ngam sikit sebab dekat sini dia tidak terperangkap dengan aspek paling celaka dalam kritikan moden - sistem kadaran bintang. Di Malaysia aku kira semua pengkritik di akhbar macam lahanat. Ya, termasuklah Ku Seman Ku Hussein dan A. Wahab Hamzah. Hassan Muthalib mampu mencetuskan beberapa poin menarik dan cuba melihat filem dari sudut berbeza tapi masih, dia pun sama babi.

Kenapa? Well, sesetengah orang percaya sepatutnya terdapat garis jelas yang membezakan pengulas filem, i.e. buruh penerbit besar yang kerjanya adalah untuk merekomen - atau tidak merekomenkan - filem kepada penonton sasaran*, dan pengkritik filem. Pengkritik filem ni lebih akademik, ilmuan serius yang benar-benar mendalami penyelidikan filem. Bangsat-bangsat macam Ku Seman, A. Wahab dan Hassan Muthalib nampak sangat nak tergolong dalam kelompok ni - cuba mengakademikkan kritikan filem habis-habisan, mencirikannya dengan bahasa esoterik dan istilah pariah intelektual, menghimpitkannya dengan mentaliti universiti. Aku tak nampak Pauline Kael boleh disumbat ke dalam mana-mana kategori ini. Perbezaan ini membuatkan kita terperangkap dalam elitisme, menganggap yang orang kebanyakan tidak mahu atau tidak mampu terlibat dalam diskusi serius tentang falsafah atau seni. Masalahnya mereka ni tak diberi peluang pun. Yang diperlukan hanyalah ruang budaya untuk diskusi begitu. Mungkin jika pendidikan filem - ataupun pendidikan seni - lebih prominen di institusi pembelajaran, masalah ini boleh ditangani dengan lebih serius.

Dalam kes tertentu, kekurangan pengiktirafan budaya bahawasanya filem itu seni berpunca atas beberapa dasar: Kurangnya wahana intelektual dalam budaya kita, filem sebagai produk semata-mata, obsesi terhadap hiburan dan keselesaan yang mengorbankan seni serius. Bagaimanapun, salah satu faktor terbesarnya juga kerana kegagalan pengkritik filem untuk menghubungi khalayak pada tahap intelektual mendalam tanpa menyisihkan mereka; memastikan kerja mereka tidaklah tertakluk pada cakap-cakap berdegar atau rekomendasi kosong semata-mata. Adalah kerja pengkritik untuk terus menghidupkan diskusi filem dan memastikan kepentingan budaya seni yang diangkatnya berterusan, untuk mencintainya dan menghargainya dan menghubunginya pada satu tahap yang melangkaui kelaziman kita lihat di dada-dada akhbar ataupun internet.

*Sementara tu, kesemua pengkritik filem di akhbar Inggeris tempatan berada dalam kelompok ni.

No comments:

Post a Comment