YayBlogger.com
BLOGGER TEMPLATES

Friday, July 22, 2011

Aku Insan Lelap


Lapan sembilan menjak ini, tabiat suka tidur aku sewaktu menonton filem semakin menjadi-jadi; tak kiralah sewaktu di rumah sendiri, di rumah makwe, mahupun di bangku pawagam; dan tak kiralah filem yang dilayan adalah jenis yang seni, berarus utama, panjang ataupun pendek. Ini kira agak biadap jika perlihatkan betapa aku memandang tinggi terhadap medium seni ini, dan betapa aku percaya minda dan jiwa kita kenalah sentiasa fokus sewaktu menonton filem. Aku mengaku yang aku, seperti sekalian umat Islam di luar sana, kadang kala agak seksa, bak kata orang putih, practicing what I preach; namun aku juga nak tambah sebenarnya tak salah nak tidur sewaktu menonton filem - selagi kau menghabiskan naskhah yang ditonton itu pada lain waktu ketika mata bugar sikit - dan ini bukanlah petanda aku tak memandang filem sebagai seni dengan serius.

Aku merasakan pengalaman menonton filem itu adalah sesuatu yang menenangkan. Ditambah lagi dengan penangan psikosomatik lampu malap, duduk di kerusi empuk seraya menatap imej yang menari, aku percaya ini menyuntik semacam suatu kualiti meditatif dalam pengalaman meladeni seni, sesuatu yang melangkaui aspek rasional dan emosional hidupan kita - yang kita gelar aspek noetik atau rohani seni. Kualiti ini menjelaskan seni memberi bentuk dan susunan ke atas elemen yang kacau lagi rambang. Hanya sebahagian medium saja mampu ke tahap begini seperti filem. Material mentah yang berlandaskan imej, bunyi, muzik serta kata-kata bersatu dengan cara yang cukup hebat seraya membentangkan makna dan kebenaran melalui wahana yang pelbagai.

Seni, dalam kelebihannya memanifestasikan keindahan, memberi kita tempat perlindungan dari segala kegilaan, kegelapan dan kemerepakan dunia yang memamah kehidupan kita sehari-hari. Pun begitu, secara paradoksnya, perlindungan ini bukanlah ruang untuk kita melarikan diri. Ia bukanlah sebuah fun fair untuk kita "cabut" kejap dan kemudian berbalik ke dunia hiruk-pikuk kita yang asal. Sebaliknya, perlindungan ini bertujuan untuk "menyerikan" lagi kehidupan kita. Ia menunjukkan kebenaran tentang kehidupan kita, rupa dunia kita yang sebenar, sekiranya kita sanggup melihatnya benar-benar. Seni memberi kita ruang untuk melihat cahaya keindahan hidup yang tersembunyi di sana sini.

Pengalaman yang aku sebut tu, sebuah pengalaman dunia yang masuk dek akal dan penuh makna, tersangatlah mengujakan namun dalam yang sama amat menenangkan. Ia adalah sebuah alam harmoni - tempat aku boleh melelapkan mata. Memang redup jiwa apabila memikirkan wujudnya filem di dunia yang aku tinggal ini. Ini mengingatkan aku kepada kata-kata Borges, "Aku tak boleh tidur kalau tak ada buku dekat keliling." Filem pun sama jugalah.

Ia memberi semacam kelegaan batin kepada aku bahawa dunia yang aku diami ini menghasilkan Manhattan oleh Woody Allen, Trilogi Apu oleh Satyajit Ray dan Late Spring oleh Ozu. Ini adalah tempat yang best untuk hidup, dan tempat yang best untuk aku berdengkur.

No comments:

Post a Comment